Friday, March 11, 2011

cerpen:Aku berada dlm tgan yg ak Cintai (part 1)


Matanya terbuka. Berkelip-kelip sebentar. Siling menghiasi tubir matanya. Bulan pertama berlalu. Lengkap sudah 31 hari dia bergelar pasangan orang. Dia mengingatinya, kerana semalam sebelum tidur, dia terfikir akan waktu-waktu yang telah berlalu.
Tangannya bergerak-gerak merasai separuh selimut di sebelahnya. Apa yang dicarinya, tiada. Digerakkan kepalanya ke kanan. Kawasan katil itu kosong.
Dia mengangkat kepalanya sedikit.
Di satu sudut, agak terjarak sedikit daripada katil, kelihatan sesusuk tubuh sedang ruku’, kemudian berdiri sebentar, sebelum turun ke paras yang lebih bawah dari yang mampu dilihat dari atas katil. Dia yang memandang, pasti tubuh tadi itu sedang sujud.
Dia tersenyum. Menggeleng sebentar. Segera dia bangun dari pembaringan. Azan berkumandang. Waktu Subuh sudah masuk. Terhenti dia seketika mendengar seruan suci tersebut.
“Assalamu’alaikum sweetheart.” Satu suara menerjah gegendang telinga, di tengah-tengah sayup azan.  Membuatkan dia menoleh. Tersenyum kelat.
“Waalaikumussalam, honey.” Tertunduk sebentar. “Maaf, tak join.”
Naa, no biggie. Well, care to join me in Subuh?” Dagunya diangkat dengan lembut oleh jemari lelaki di hadapannya yang tersusun. Mata mereka bertentangan. Lelaki itu mengangkat kening dua kali. Bibirnya langsung terkoyak mengeluarkan senyuman.
“Sure.”
“Pergi mandi dulu.” Dan tangan yang berada di dagu itu, menyentuh lembut pipinya.
Dia mengangguk perlahan, dengan senyumannya yang berkekalan. Kemudian dia bergerak meninggalkan lelaki tersebut.
Itulah suaminya. Rafiqi Rasyidi. Tidak berapa dikenalinya, kerana hubungan mereka banyak atas susunan keluarga. Seribu satu perasaan yang menyerbu dirinya, apabila dia mengetahui bahawa dia akan dikahwinkan dengan seseorang yang bergelar ‘Kepercayaan Ayah’.
Ayah adalah seorang yang soleh. Taat pada agama. Ketua kumpulan usrah yang amat berdedikasi dalam organisasinya. Suaminya adalah salah seorang daripada anak usrah ayahnya. Walaupun begitu, dia tidak mengenali suaminya kerana dia bukanlah seperti ayahnya. Dia tidak berapa rajin mengikuti usrah. Padanya, cukuplah dia tahu bagaimana untuk solat, cukuplah dia mengetahui bagaimana menutup aurat, cukuplah dia Islam cukup syarat, maka tidak perlu untuknya pening-pening atas perkara lain.
Jadi, berkahwin dengan seseorang yang didengarinya sebagai ‘Kepercayaan Ayah’, dia sebenarnya diserangi seribu satu asumsi. Risau lelaki itu akan terlalu keras kepadanya dalam menjaga agama. Risau lelaki itu akan menyuruhnya mengikuti usrah-usrah. Risau lelaki itu akan memberat-beratkannya. Rasa tidak padan pun ada. Siapalah dia. Biasa-biasa sahaja. Kalau nak dikatakan berfikrah, tak adalah sangat. Faham Islam pun cukup-cukuplah untuk makan. Takut nanti dirasakan menyusahkan lelaki se’kamil’ itu pula. Dan dia amat tahu, dia tidak akan mampu menjadi sesempurna lelaki itu.
Dia pun tidak faham, apalah yang pentingnya proses tarbiyah yang sering didengarinya daripada Ayah dan Ibu. Cuma dia perasan, kehidupan mereka banyak berubah ketika dia berumur 15 tahun. Ayah dan Ibu macam jadi lebih ‘alim’, lebih ‘menjaga’. Tetapi taklah terlalu ortodoks. Namun dia dapat melihat perbezaannya. Ayah macam menjadi lebih ‘faham’ akan Islam dalam bentuk yang lebih ‘praktikal’. Dan  Ayah menjadi sangat komited dengan organisasi yang diikutinya. Hingga Ayah terpilih menjadi salah seorang penjaga usrah dalam organisasi tersebut. Apa namanya? HALUAN? Dia juga tak berapa perasan.
Dia? Dia tak berapa tertarik dengan perkara-perkara sebegitu. Padanya, kompleks. Padanya, itu semua sekadar ‘tambahan’. Cukuplah dengan Islam yang dia faham. Dia bukannya buat perkara haram, bukan? Jadi dia tak berfikir sangat ke arah mengikuti proses-proses tersebut.
Tetapi, dalam keserabutannya memikirkan semua itu, dia akhirnya bersetuju juga. Itupun, kerana Ibunya terlalu berhajat sangat dia berkahwin dengan lelaki itu. Pasrah sahaja.
Namun selepas sebulan menjadi isteri kepada lelaki itu, semua sangkaannya hilang begitu sahaja. Bahkan, dia merasakan dirinya amat bertuah. Rafiqi adalah seorang yang amat sederhana, soleh, dan tidaklah seperti yang disangkakan sebelumnya. Lelaki itu tidak pun menyentuh apa-apa hal berkenaan pergi usrah, atau tahap kefahaman Islam, atau kekuatan melaksanakan hal-hal sunat. Lelaki itu banyak berbicara perkara ‘normal’ sahaja dengannya. Hingga kadangkala, kagum merayap ke dalam jiwanya.
Sangkanya, lelaki sedemikian, keras dalam menjadikan pasangannya ‘kamil’.
Dia gila-gila, Rafiqi seorang yang neutral.
Dia senang terasa, Rafiqi pula berpada-pada.
Dia agak keanak-anakan, Rafiqi pula jelas kematangannya.
Tetapi Rafiqi, sederhana. Sabar dengan kerenahnya. Banyak mengikuti rentaknya.
Hingga dia sendiri, sering terpana.
Senyuman tadi tidak pergi lagi. Walau dia sudah melangkah masuk ke dalam bilik air. Menggeleng sebentar, sebelum pintu ditutup. Sempat memandang Rafiqi yang berada di sinki sebelah bilik air, mengambil wudhu’ yang terbatal kerana menyentuhnya tadi.
What? Anything funny?” Suara Rafiqi menariknya semula.
Matanya terkelip-kelip. Aiseh, kantoi usha anak orang. Hihi.
Nothing.” Dan senyumannya meleret kekal. Pintu bilik air ditutup.
******
“Pergi mana, honey?” Dia melihat Rafiqi menyarung kasut sukan. Pakaian pula pakaian riadhah. Tadi selepas bersembang dengannya, minta izin masuk sebentar, rupanya bertukar pakaian.
“Aiseh, lupa nak bagi tahu awak. Saya ada program riadhah dengan sahabat-sahabat la. Sorry ya sweetheart, lupa bagitahu.” Rafiqi dengan senyuman secerah mataharinya itu, memandang tepat ke arahnya sambil kekal membongkok membetulkan tali kasut.
Dia yang duduk di buaian menghirup udara pagi di halaman, mengangguk.
Sahabat-sahabat. Itu adalah terma yang digunakan jika hendak keluar dengan rakan-rakannya yang mengikuti usrah sepertinya. Seperti Ayah. Ayah juga sering menggunakan terma yang sama. Sahabat-sahabat. Kalau perempuan, sahibah-sahibah. Setakat ini, tak pernah lagi la dia mendengar ada ayat “Nak keluar dengan sahibah-sahibah” keluar daripada mulut suaminya atau Ayahnya. Dari mulut Ibunya, pernah.
Hem… Sampai riadhah pun ada dengan sahabat-sahabat. Proses tarbiyah yang suami dan kedua-dua orang tuanya ikuti ini, macam meliputi segala hal dalam kehidupan pula. Dulu ada berkelah. Ada sekali tu, jamuan makan sahaja. Ada pernah, buat Hari Keluarga pula. Proses itu nampaknya tidaklah terpenjara dalam masjid, qiamullail, dan hal-hal agama yang rijip sahaja. Tetapi masih dia malas mengikuti semua itu. Biasanya Ibu dan Ayah pergi berdua sahaja. Sejak ada suaminya, bersama suaminya sahaja. Dia? Dia ‘kureng’ sedikit. Sebab dalam semua itu, mesti ada slot ‘tazkirah’, ‘peringatan’. Dia malas. Lagilah pula nak ikuti usrah, berasap telinga kut dengar semua itu. Baik dengar ceramah agama kalau betul-betul nak tazkirah.
Tetapi yang menghairankannya, Ayah dan Ibu, boleh pula istiqomah. Dah tua. Banyaklah fikir akhirat. Itu boleh difahaminya. Suaminya? Mengapa istiqomah juga mengikuti proses itu? Ini bukan dah zaman ‘bebas’ ke? Lainlah kalau ada peraturan macam di sekolah nak main ikut-ikut usrah ni.
“Em, honey, can i ask you something?”
Sure you can, love. Anything.” Rafiqi bergerak berdiri di hadapannya, menggerak-gerakkan sedikit tubuh seperti memanaskan badan.
“Er, jangan terasa, okay?” Dia teragak-agak. Memandang Rafiqi dengan wajah takut-takut.
Pecah tawa suaminya itu. “Wahai intan payungku, Puteri Ruqayyah Raihanah cintaku, why la i must terasa dengan you?”
“Eh, berpantun rojak bahasa pula dia.” Dia turut tertawa akhirnya. Keseriusan yang terbina secara tidak sengaja tadi, patah begitu sahaja dengan gelagat Rafiqi. Memang la suaminya yang seorang ini. Macam tahu-tahu sahaja dia takut nak bertanya.
“Ha, tanyalah. Apa dia? Nak ajak honeymoon sekali lagi?” Rafiqi angkat kening dua kali.
“Hish, nakal la awak ni. Gula banyak sangat!” Tangannya segera mencari pinggang Rafiqi untuk dicubit. Suaminya itu mengelak tangkas, sambil tersenyum kekal. Dia menghela nafas. Rasa tenang pula hendak bertanya dengan gelagat suaminya yang ceria.
“Sebenarnya, saya nak tanya, kenapa awak istiqomah ikut program-program bawah organisasi yang ayah ikut tu?”
Rafiqi terus kaku. Tetapi kemanisan wajah lelaki itu tidak menurun. Bahkan, senyuman lelaki itu macam melebar pula rasanya.
“Maksud awak, proses tarbiyah?”
Dia mengangguk.
“The answer is easy. Sebab saya nak menjadi kuat.”
“Eh? Kuat?” Peliknya jawapan. Kenapa tak masuk body builder sahaja?
“Ha’ah, kuat. Awak tahu, hanya dengan proses ini sahaja kita akan mampu menjadi kuat. Sangat-sangat kuat.” Rafiqi tersenyum, dan senyuman suaminya itu benar-benar menyenangkan. Nampak keyakinan. Nampak kesenangan. Nampak kekuatan.
“Boleh terangkan dengan lebih detail?”
“Apa kata kita simpan dulu? Mana tahu, kalau awak sabar sikit, Allah tunjuk practical version punya?”
“Apa, badan awak jadi tough ke?” Dia pula buat angkat kening dua kali. Sejak bila gelaran ‘manusia ternakal’ jatuh kepada Rafiqi ni? Nak rampas balik kerajaan aku. Huhu.
Rafiqi tertawa. “Tungguuuuuuu.” Rafiqi memuncungkan sedikit bibir sambil mengangkat jari telunjuk kepadanya. Dia pula tertawa senang.
“Ah, dah nak terlambat ni. Saya pergi dulu ya? Take caresweetheart.” Pantas pipinya dikucup, sebelum Rafiqi bergerak masuk ke dalam Lamborghini Aventador, milik persendirian suaminya itu. Dia hanya mampu memandang kereta mewah itu meninggalkan perkarangan rumah, merentas halaman rumah mereka yang luas, dan bergerak hilang selepas keluar daripada pintu gerbang rumah.
Dia berfikir sebentar.
“Kuat?”
Tak faham.
Nafas dihela. Dia menggeleng kepala.
Macam-macam.
******
Mereka baru sahaja keluar daripada ISetan. Membeli beberapa barangan sebagai buah tangan kepada Ibu dan Ayah yang hendak diziarahinya.
“Aduh, kenapa la honey saya letak Aventador dia jauh-jauh?” Dia penat menggendong barang.
“La, jauh apanya. Dekatlah. Majid Asy-Syakirin bukannya jauh. Riadhah sikit la sweetheart. Lagipun kan scenery kat sini best? Ada air pancur, ada whale kaku.” Rafiqi menunjuk ke arah kawasan pancur air yang sedang dilalui mereka.
Dia meleret senyum. “Honey, dengan awak, saya memang tak boleh menang ya?”
“Eh, awak dah menangi hati saya, dah la kan? Tak cukup ke, sweetheart?” Rafiqi angkat kening dua kali.
Daripada senyuman, tawanya berbuah. Haila, mana tak aku senang dengan suami aku? Ada-ada sahaja. Bertuah betul badan.
Come, saya ambil sikit.” Rafiqi mengambil separuh tanggungannya. Walaupun tanggungan di tangan Rafiqi sudah berat sebenarnya. Dia malu-malu sahaja, menggeleng. Sweet sungguh suaminya ini.
Hampir ke kereta, bunyi bising berdesing di telinga. Terus mata melilau mencari sumbernya. Akhirnya, dia terhenti kepada sekumpulan lelaki yang berpakaian ala-ala samseng, menggerumuni salah sebuah kereta. Dan kereta itu adalah…
“Eh, kereta itu bukan kereta kita?” Rafiqi terlebih dahulu bersuara.
Dia mengiyakan. Kini dia diamuk bimbang. Bagaimana? Apa yang perlu dilakukan? Tunggu sampai kumpulan itu pergi? Kalau kereta itu pula yang diperapa-apakan bagaimana? Dipecahkan untuk dicuri, dan sebagainya. Dan kalau mereka cuba menghalang, bukankah mereka pula yang akan menjadi mangsa? Sudahlah dia dan suaminya sedang menggendong barang-barang yang tidak kurang mahal harganya, dia dan suaminya juga mempunyai pelbagai benda berharga pada tubuh dan dompet mereka.
“Assalamu’alaikum saudara-saudara semua,”
Matanya membesar. Terus memandang Rafiqi di sebelah. Apa yang suaminya sedang lakukan?!
Lelaki-lelaki tadi menoleh ke arah mereka. Wajah-wajah itu jelas tegang. Mata mereka terus tajam. Tanda tidak senang diganggu.
Ah, Habislah! Apa yang Rafiqi fikir?
Honey…” Dia cuba mengajak suaminya itu agar tidak melakukan apa-apa perkara yang bodoh.
“Tenang sweetheart, tenang.” Rafiqi tersenyum. Tenang. Buat jantungnya bagai hendak berhenti berdegup. Macam mana suaminya boleh tersenyum sekarang? Dia sudah tidak keruan.
“Kau siapa hah?” Salah seorang daripada lelaki-lelaki itu bersuara. Mereka perlahan-lahan mula menggerumuni dia dan suaminya.
“Saya tuan punya kereta.” Lurus sahaja Rafiqi bersuara.
Ya Allah, suami aku! Kenapa pergi beritahu begitu?
“Ooooh. Jadi, mudahlah kerja kami. Boleh serahkan kunci?” Salah seorang daripada ahli kumpulan samseng tersebut tersengih.
“Serahkan sekali lah segala apa yang ada dengan korang. Kalau kereta pun macam itu, sah-sah dalam beg tangan, pada badan ada macam-macam juga kan?” Seorang lagi bersuara, sambil memandang dia dan Rafiqi dari atas hingga ke bawah.
“Jangan biarkan kami ambil jalan sukar. Kami tak nak memperapa-apakan sesiapa. Kami ni cari makan sahaja.” Seorang lagi menumbuk-bumbuk telapak tangannya sendiri.
Seorang, dua orang, tiga… enam orang kesemuanya. Macam mana ni? Dirinya mula terasa seperti hendak berpeluh. Takut. Takut. Segera pandangannya beralih kepada Rafiqi. Kelihatan suaminya itu sedang menunduk sebentar, meletak segala barang yang digendong, kemudian berdiri tegak semula.
“Saudara sekalian, mencuri dan peras ugut itu salah. Kalau benar-benar nak ambil jalan yang senang, maka jalannya yang sebenar adalah dengan tidak mengambil apa-apa daripada kami.” Rafiqi mendepangkan tangannya sambil kekal tersenyum.
Kali ini, dia seperti ingin menjerit. Dia menarik nafas dalam kerana terkejut yang amat. Apa suaminya telah gila?
“Celaka!” Belum sempat dia bersuara, salah seorang daripada kumpulan samseng itu sudah mula bergerak dengan pisau kecil yang siap di tangan. Dia memejamkan mata ketika itu juga. Aaaaaaa….!
Terasa angin menyapa wajahnya. Dapat dirasakan angin itu menerpa dari arah kanan, bukan dari arah kiri, yakni arah penyerang tadi. Dan untuk jangka masa yang sepatutnya dia telah menjadi mangsa tikaman, dia mendengar pula bunyi dentingan. Hairan. Perlahan-lahan dia membuka matanya.
Rafiqi sedang mengilas tangan Sang Penyerang, dan pisau kecil tadi sudah menyembah tanah.
“Saudara-saudara, saya kira baiklah…” Rafiqi masih bersuara dengan senyuman. Tetapi bicaranya tidak dapat disempurnakan. Lima yang lain mula beraksi serentak.
“Sayang!” Satu pukulan pantas mengenai batang leher penyerang tadi, membuatkan lelaki itu terkulai pengsan sebelum sebelah tangan lagi tangkas menariknya dan menolaknya untuk keluar daripada medan pertempuran. Dia terundur menjauhi suaminya itu beberapa langkah akibat perbuatan tersebut. Dan dengan matanya yang tidak sempat ditutup, dia melihat suaminya diterkam kelima-lima samseng yang lain.
Dia ingin menjerit, tetapi tidak mampu. Tersekat di kerongkong. Namun dengan jelas dia melihat bagaimana Rafiqi menyelit mengelak dengan penuh seni dan ketangkasan. Tiada satu pun serangan lawan-lawan suaminya itu yang menyentuh tubuh.
Rafiqi kelihatan tenang, walaupun lima lawannya itu bersenjata. Melihat bagaimana suaminya mampu mengelak semua serangan tersebut dalam kadar jarak seinci sahaja, membuatkan jantungnya seperti hendak meledak. Takutnya menggunung. Kalaulah terlambat sedikit sahaja… ish…
“Maafkan saya,” Kedengaran Rafiqi bersuara.
Salah seorang menujah, dan kini Rafiqi menepis tangan penyerangnya itu. Pada saat yang sama dengan tepisan itu, sebelah kakinya melangkah ke hadapan. Tangan yang menepis tadi sudah bersedia dan melancar sebagai tolakan keras mengenai bawah rahang penyerangnya apabila langkahan suaminya tadi sempurna.
Darah tersembur ke udara. Dan belum sempat lelaki itu jatuh, suaminya telah menuju ke arah seorang lagi yang terhampir dengannya. Kaki kirinya melangkah mendekati lelaki tersebut, dan tangan kiri dengan jari jemari tersusun rapat seperti mata pisau sepantas kilat menujah ke halkum. Lelaki yang pertama sudah jatuh separuh, dan lelaki kedua sudah mula tumbang. Ketika ini suaminya diserang dari arah hadapan, namun dengan pantas suaminya menunduk, bersama kedua-dua tangannya menumbuk perut kedua-dua lelaki tadi, membuatkan kedua-dua tubuh mereka terhentam ke bumi.
Penyerang suaminya terus melancarkan sepakan. Rafiqi menangkap, dan terus menarik sebelah kaki lawannya itu sambil naik dari tunduknya serentak. Seluar yang dipakai lawannya terkoyak, dan Rafiqi menendang belakang leher lelaki tersebut, membuatkan lelaki itu terkulai pengsan.
Dua penyerang menerkamnya dari arah berlawanan, menujah pisau mereka berdua serentak. Rafiqi mendepang kedua-dua belah tangannya dan ketika pergelangan tangannya menyentuh pergelangan tangan lawannya, dia memutar-mutarkannya. Tangan kedua-dua lawannya terputar sama. Dan sebentar sahaja, pisau masing-masing terlepas dari pegangan.
Ketika inilah Rafiqi menarik kedua-dua belah lengan mereka, mendekatkan mereka ke arah dirinya, dan dengan pantas mengangkat kedua-dua belah penumbuknya menghentam dagu dua lawannya itu. Lawannya terangkat sebentar, bersama darah yang bersemburan, sebelum jatuh ke tanah seperti yang lainnya.
Ruqayyah Raihanah berkelip-kelip tidak percaya.
Rafiqi ibarat pendekar yang amat hebat. Tambahan pandangannya kini sedang melihat Rafiqi berdiri gagah di tengah-tengah musuhnya yang bergelimpangan.
Dan tiba-tiba, kedengaran tepukan gemuruh yang menggegak. Segera dia menoleh ke kiri dan kanan. Ada sebilangan manusia yang agak ramai sedang memerhatikan. Termasuklah beberapa orang polis yang kelihatan seperti baru sahaja hendak mengeluarkan senjata.
Dia terlalu gemuruh, takut, hingga tidak perasan yang ada orang sedang memerhatikan mereka.
Sweetheart?” Tiba-tiba Rafiqi muncul di hadapannya.
Are you okay?” Dan senyuman suaminya tetap terwujud. Tenang. Seakan-akan ketenangan itu, tidak tergegar langsung.
Dia? Dia gugup. Takut. Gemuruh. Serabut. Teramat. Seakan-akan hendak kiamat.
“Tuan, tuan perlu ikut kami ke Balai. Buat laporan.” Dan suara itu pula kedengaran. Anak matanya sekadar mengekori polis yang mendekati suaminya. Rafiqi mengangguk, dan masih tersenyum. Kemudian memandang kepadanya semula.
“Alamak sweetheart, kena call Ibu dan Ayah la. We will be a little bit late.” Rafiqi masih bersahaja. Suaminya itu terus menyeluk saku, mengeluarkan telefon bimbit, dan pantas menekan speed dial. Dia amat pasti suaminya menghubungi Ibu dan Ayah.
Dia memang mengetahui akan ketenangan suaminya. Tetapi, dia tidak pernah menjangka yang suaminya akan mempunyai ketenangan yang sedemikian rupa. Kenapa suaminya boleh kekal tenang sedemikian rupa? Dalam situasi yang teramat-amat getir sebegitu. Mengapa suaminya mampu untuk begitu?
Dan persoalan itu tidak terjawab hari itu, dan juga keesokannya, dan juga keesokan keesokannya. Terdiam begitu sahaja. Namun nyata, peristiwa itu agak memberikan kesan kepadanya.
*******

nntikan smbungn part 2..thanx hilal asyraf sgt mnrik cerpen nie..
Langitilahi.com..

No comments:

Post a Comment