Friday, December 24, 2010

Impian tahun baru..remeh tp prlu~

Ayat yang biasa kita tuturkan setiap kali menjelang tahun baru,
“Saya mahu berubah.”
“Saya akan lakukan perubahan dalam hidup.”
“Saya mahu lakukan yang lebih baik.”

Bagus tu. Itulah yang sebenarnya dianjurkan. Berubah ke arah yang lebih baik.
Namun, lebih baik seandainya dispesifikasikan perubahan yang ingin dilakukan.
Lebih baik juga kalau dapat membuat checklist yang diharapkan dapat mengingatkan kita yang sememangnya sering terlupa dengn perancangan perubahan yang kita bina setiap tahun.
 Menyeru diri saya dan anda semua melakukan perubahan dalam urusan yang mungkin agak REMEH sahaja, tepi PERLU.

Apa kata tahun ini kita membuat sedikit perubahan dalam perkara-perkara berikut. Biarpun sedikit, yang penting konsisten dan istiqamah sepanjang tahun.

Bermula dari awal hari kehidupan:

1. Kita mulakan hari dalam kehidupan dengan bertekad menunaikan solat Subuh. Subuh di dalam waktunya. Bukan Subuh gajah. Bukan juga Subuh dinasour. Jadi, walau apapun, perlu bertekad bangun pagi seawal azan Subuh berkumandang.  Lebih baik kalau dapat Subuh berjamaah. Tidak kira di masjid, surau ataupun di rumah. Di masjid, berjamaah dengan jamaah surau yang lain. Di rumah, berjamaah dengan isteri dan anak-anak yang menjadi amanah besar daripada Allah yang perlu dijaga dan dididik.

2. Mengembalikan nostalgia membaca Al-Quran. Kalau naskah Al-Quran sudah sekian lama tidak disentuh, di awal tahun ni sentuhlah ia agar sentuhan itu bisa mengundang kerinduan untuk membacanya setiap hari. Lebih baik seandainya dapat membaca Al-Quran setiap kali selesai solat fardu. Jika tidak berupaya, cukuplah membacanya setiap hari walaupun hanya sekali sehari. Asalkan kita tidak meninggalkan Al-Quran yang hakikatnya itulah PEDOMAN AGUNG dalam kehidupan ini.

3. Membiasakan kembali diri untuk membaca doa-doa harian yang mudah-mudah. Kalau sudah berumah tangga, amalan ini akan menjadi didikan tidak langsung kepada isteri atau suami serta anak-anak. Mudah sahaja. Baca doa dengan suara yang dapat didengar oleh isteri, suami dan anak-anak ketika masuk dan keluar tandas, doa makan, doa naik kenderaan, doa masuk dan keluar rumah, doa melihat cermin dan doa-doa mudah yang lain. Jadikan ia sebagai rutin yang mudah. Pasti ia dapat membina satu suasana atau bi’ah islamiyyah dalam kehidupan kita. Mudah sahaja bukan?

4. Menanamkan tekad untuk mengenakan pakaian yang sesuai dengan corak pemakaian Islam yang baik seperti memakai tudung yang menepati garis panduan Islam yang betul. Pilihlah mana sahaja berkenan dan menepati citarasa anda fesyen-fesyen tudung banyak terdapat di pasaran asalkan ianya tidak jarang dan tidak menampakkan leher dan dada. Jangan sampai kita berfesyen tetapi lupa akan kriteria-kriteria fesyen yang dibenarkan Islam. Begitu juga dengan baju. Berfesyenlah, asalkan menutup aurat, tidak menampakkan bentuk badan, jarang, dan menjolok mata kerana jika mengingkarinya, ianya akan mengundang derita dan sengsara di Akhirat kelak. Bagi yang bergelar suami, bantulah isteri dan anak-anak anda berpakaian seperti membelikan pakaian yang menutup aurat dan memberi nasihat dengan baik dan pandangan dengan gaya pemakaian yang mereka kenakan setiap hari sama ada dalam keadaan rasami mahupun santai. Andalah pemimpin dan penasihat Dunia dan Akhirat mereka.

5. Bagi mereka yang sudah mendapat ‘title’ suami dan bapa, sesekali tanamkanlah tekad untuk ‘mencemar duli’ bagi meringankan tugas isteri menguruskan rumah dan anak-anak. Kasihanilah isteri anda yang kepenatan. Membantu isteri membasuh pakaian (letak sahaja baju-baju di dalam mesin basuh, mesin yang akan mencucinya), menjemur pakaian, atau membuang sampah yang sudah memenuhi tong sampah rumah, tidak akan menjatuhkan nilai kepimpinan yang anda miliki. Percayalah!

Andai punya isteri yang suka membebel, biarkanlah. Sekejap sahaja. Nanti akan baik sendiri. Pagi tadi, ketika bersarapan pagi nasi lemak yang suami saya belikan di kedai, saya tertarik dengan tajuk artikel dari Dr. H.M. Tuah yang terdapat pada pembungkus nasi lemak. “Tajuknya: Berbeza itu serasi namanya”.  Membincangkan sifat suami isteri yang berbeza itu adalah keserasian. Isteri yang pendiam, biasanya suaminya adalah seorang yang banyak bercakap. Dan begitulah sebaliknya. Kerena itu, jika anda punya isteri yang kerap membebel, redhalah kerana itu adalah kebiasaan sifat seorang wanita yang kepenatan menguruskan rumahtangga yang tidak pernah habis kerjanya. Selami kisah bagaimana Sayyidina Umar berhadapan dengan isterinya yang sedang membebel. Pasti anda akan merasa kagum dengannya.

6. Khusus bagi mereka yang sudah berumah tangga. Di saat anda menikmati detik-detik bahagia bersama isteri dan anak-anak, luangkan masa juga untuk bersama sahabat anda yang sedang menghadapi kesusahan dan derita. Andai bantuan kewangan tidak dapat diberikan, sokongan dan kebersamaan anda bersama mereka sebenarnya amatlah bernilai. Pasti segala bantuan dan sokongan yang anda hulurkan tidak akan disia-siakan Allah. Bagaimana jika jauh jaraknya? Bukankah teknologi komunikasi negara kita sudah mencapai ke tahap yang boleh dibanggakan? Kenapa tidak dimaksimumkan penggunaannya untuk tujuan kebajikan? Alat-alat komunikasi 3G, iPhone4, Facebook, semuanya boleh membantu anda ibarat dunia ini tiada sempadannya.

7. Syurga di bawah telapak kaki ibu. Itulah yang perlu diingat selalu. Kesibukan mengejar kesenangan dunia jangan sampai membuat kita alpa dengan gelaran ANAK yang kita miliki. Sayangi ibu dan ayah dengan menzahirkan kasih dan sayang anda kepada mereka. Buatlah apa sahaja asalkan mereka bahagia mendapat seorang anak seperti anda. Seringlah menziarahi mereka. Bertanya khabarlah dengan ibu dan bapa anda sekerap yang mungkin. Mereka pasti gembira seolah-olah anda sentiasa di sisi walaupun hakikatnya anda jauh beribu batu dari mereka.

Cukuplah sekadar 7 perkara untuk saya sentuh dan berikan perhatian untuk kali ini. REMEH TETAPI PERLU! Untuk impain yang ‘besar-besar’, anda tentukanlah sendiri. Buatlah planning yang baik agar kita tidak mensia-siakan usia yang Allah pinjamkan buat sementara. Saya mendoakan agar impian dan harapan tahun baru kita semua kali ini akan mencapai sasarannya.

No comments:

Post a Comment