Friday, April 8, 2011

KISAH AIS???

AIR BATU DAN UMUR KITA

Ada sebuah kisah berbentuk perbualan yang menarik untuk kita renungi. Ia merupakan titipan nasihat dari seorang tua yang bijaksana kepada seorang muridnya yang menunjukkan sekeping gambar air batu.

Air batu yang sering membantu menghilang dahaga kala terik mentari menyengat di atas kepala. Terbayang dingin air yang mengalir dari bekas kaca, masuk ke mulut lantas sampai ke rongga tekak yang kering dek dahaga. Amat melegakan.

“Air batu ini jika dicampur dengan sirap, tentu akan menambah kesegaran sirap yang kita minum,” kata si tua yang bijaksana.

“Jika ditambah ke dalam air kelapa muda, tentu ia juga menambah kesegaran air kelapa muda kita. Pun, jika air batu ini ditambahkan ke dalam teh manis, atau dicampur dengan buah-buahan, ia pasti menambah ‘rasa’ yang nyaman. Walaupun, air batu itu akhirnya cair, namun ia telah melaksanakan fungsinya untuk menambah rasa dingin pada minuman. Ertinya air batu ini bermanfaat kepada manusia,”tambahnya lagi.

“Lalu, seandainya kita membiarkan air batu tersebut seperti dalam gambar ini, apakah air batu akan tetap seperti ini, atau akan mencair?” tanya si tua yang bijaksana cuba memancing.

“Tentulah air batu ini akan mencair,” ringkas jawapan si anak murid.

“Apakah pencairan air batu seperti ini sama manfaatnya jika dibandingkan dengan ketika kita mencairkannya ke dalam minuman?” soal si tua yang bijaksana lagi.

“Tidak. Kalau air batu ini kita campur dengan minuman dan kemudian mencair di dalamnya, ia akan menambah kesegaran pada minuman. Akan tetapi, jika ia dibiarkan mencair seperti ini, ia tidak menambah apa pun, selain hanya akan habis dalam jangka waktu yang tertentu,” balas si anak murid penuh yakin.

Si tua yang bijaksana menganggukkan kepala.

“Sekarang mari kita lihat ke dalam diri kita. Allah SWT mengurniakan kita umur dalam tempoh tertentu agar kita menjalani kewajipan selaku hamba-Nya, dan umur yang diberikan Allah adalah seumpama air batu ini.

Setiap saat ia akan mencair. Setiap detik, ia semakin berkurang. Setiap minit, setiap jam, setiap hari, setiap minggu, bulan dan tahun yang kita lalui. Hakikatnya, ia mengurangi jangka hidup kita di dunia ini, persis umpama lelehan air batu ini,” kata si tua yang bijaksana.

Si anak murid baru tersedar dari ungkapan terakhir gurunya, bahawa umur manusia akan berkurang setiap waktu dan ketika. Pantas dia meneliti kembali kepada gambar air batu yang diambilnya tadi.

“Justeru, kalau kita menggunakan umur kita untuk beribadah kepada Allah, tentu kita akan mendapatkan pahala di sisi-Nya. Begitu juga, kalau kita memanfaatkan umur kita untuk menuntut ilmu, InsyaAllah ilmu dan pengetahuan kita akan bertambah. Pun ketika kita menggunakan waktu kita untuk hal-hal yang bermanfaat, maka umur kita akan memberikan manfaat bagi kita, sebelum akhirnya jangka hayat umur kita itu sampai ke penghujung.

“Sebaliknya, andai kita hanya tidur seharian, hal itu sama sekali tidak akan menambah tempoh umur kita, bahkan ia tetap akan berkurang. Atau andai kita menggunakan umur sekadar untuk berfoya-foya, untuk bermalas-malasan, umur kita tetap akan berakhir sebagaimana mencairnya air batu ini. Ia tidak memberi manfaat apa pun kecuali kerugian,” tambah si tua yang bijaksana.

“Ya, benar. Air batu ini kalau dibiarkan cair sia-sia, lebih baik ia diguna kerana terasa nikmatnya. Demikian juga umur manusia. Andai dipakai untuk ibadah ia akan berkurang, tapi beroleh pahala, sementara jika diguna untuk melakukan maksiat dan kejahatan, pun ia akan habis juga, tetapi hanya menambah dosa,” celah si anak murid, mulai memahami apa yang dimaksudkan oleh gurunya.


AMAL JARIAH


Kisah di atas, walau pun ringkas namun padat dengan pengajaran. Betapa usia yang ada harus diisi dengan perkara-perkara yang berguna untuk agama dan ummah. Saya menjadikannya sebagai ingatan dan penggerak semangat untuk terus bertatih di dunia penulisan dakwah. Biar sedikit tetapi terus istiqamah.

Juga, bila mengenangkan bekal untuk dibawa ke akhirat sana, sumbangan melalui penulisan inilah yang amat saya harapkan mampu membuah pahala berterusan di sisi Allah Yang Maha Esa. Sebagai amal jariah yang akan memberi manfaat jangka panjang walau jasad ini telah berkubur di dalam tanah, InsyaAllah.

Selaku seorang yang tidak punya wang dan harta berjuta, juga jauh sekali dari memiliki emas permata yang menggunung banyaknya. Justeru, kesempatan dan sedikit bakat yang ada untuk menyampaikan kebenaran, harus saya manfaatkan selagi ada nafas dan nyawa di badan.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, yang bermaksud :

"Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya. Anak-anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya (ini berupa wakaf yang berkekalan untuknya)...dn anak yg soleh yg sntiasa mndokn ibu bapanya" 

( Hadis riwayat Ibnu Majah )

Juga sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Setiap hamba pada hari akhirat tidak akan dapat mengorak langkah menuju ke mana-mana sehingga ditanya empat perkara iaitu mengenai umur; ke mana dihabiskannya, usia muda; bagaimana dia melaluinya, harta; dari mana dia perolehinya dan bagaimana dia membelanjakannya serta ilmu; apakah dia sudah beramal dengannya.” ( Hadis riwayat Tirmidzi )

Imam Ibnu Qudamah pernah menyatakan : 
“Manfaatkanlah waktu hidupmu yang sangat berharga, jagalah waktumu yang mulia. Ketahuilah, bahwa masa hidupmu sangat terbatas. Nafasmu boleh dibilang, setiap nafas akan mengurangi bahagian umurmu. Umur itu sangat singkat dan yang tersisa sedikit amat. Setiap bahagian umurmu adalah mutiara yang sangat berharga, tidak ada tandingan dan penggantinya.

Sesungguhnya dalam hidup yang singkat ini pasti akan bermuara pada kenikmatan yang abadi atau azab yang pedih. Maka janganlah engkau sia-siakan mutiara umurmu yang berharga pada perkara yang bukan ketaatan kepada-Nya.”





No comments:

Post a Comment